2. Dongeng Dalam Latar Cerita

UNSUR DONGENG DAN LATAR

Latar boleh definisikan sebagai setting atau latar belakang bagi sesebuah cereka. Dalam sesebuah karya sastera, sama ada cerpen, novel atau drama, latar merupakan imej, gambaran lingkungan persekitaran, suasana atau atmosfera tempat berlakunya sesuatu cerita atau babak.[1]

Hikayat Inderaputra sebagai karya zaman peralihan Hindu-Islam memaparkan latar cerita yang penuh dengan unsur dongeng.

Boleh dikatakan hampir setiap latar yang wujud di dalam hikayat ini mempunyai unsur dongeng yang begitu ketara sekali. Kemunculan latar yang penuh dengan unsur ajaib ini dapat dilihat pada setiap bab di dalam hikayat ini dan hampir pada setiap babak yang terdapat dalam setiap bab. Begitulah betapa dominannya unsur dongeng dalam mewarnai latar Hikayat Inderaputra.

Daripada permulaan cerita sehinggalah ke pengakhirannya, Inderaputra banyak bertemu tempat-tempat yang ajaib sahaja. Inderaputra  banyak berjalan ke tanah jin, tanah dewa, tanah indera dan tanah mambang. Satu-satunya tanah manusia yang dijadikan latar di dalam hikayat ini adalah tanah kelahiran Inderaputra sendiri dan tanah jajahan Maharaja Syahian. Pengembaraan Inderaputra yang selebihnya berlatarkan kerajaan milik makhluk-makhluk ghaib. Pada realitinya, sebagai manusia biasa masakan kita mampu menjelajah tempat-tempat ghaib tersebut yang di luar jangkauan dan pengetahun manusia biasa.

Namun, sinonim dengan sastera hikayat roman, latar-latar sebegini dipaparkan demi menunjukkan keperwiraan seorang watak protagonis utama yang mempunyai keistimewaan yang tiada pada manusia lain sehingga mampu mengembara ke tempat-tempat yang  manusia lain sekadar mampu bermimpi menjejakinya.

Sebagai contoh, latar yang berunsurkan dongeng dapat dilihat pada babak di mana Inderaputra telah difitnah oleh menteri-menteri dan anak-anak raja yang dengki terhadapnya. Masakan tidak, Maharaja Syahian melayani Inderaputra dengan baik sekali. Tambahan pula, Puteri Mengindera Seri Bulan hendak dijodohkan dengan Inderaputra pula. Ini menambahkan sakit hati mereka terhadap Inderaputra. Akibat daripada fitnah durjana mereka itu, Inderaputra dihukum lalu diikat atas rakit dan dilempar ke laut. Apabila rakitnya pecah, Inderaputra tenggelam ke dalam laut dan bertemu dengan mahligai milik Dewa Langkurba.

“ …maka rakit itu pun pecahlah. Maka Inderaputra pun bertemulah dengan sebuah negeri, kotanya itu daripada batu hitam. Maka Inderaputra pun masuklah ke dalam negeri itu lalu naik ke atas rumahnya…” [2]

Inderaputra seterusnya berjalan-jalan di dalam negeri dasar laut tersebut dan mengagumi keindahan rupa bentuk kerajaan milik Dewa Langkurba ini.

Secara logik akal, sudah tentu tiada kerajaan di bawah laut melainkan di alam ghaib yang tidak dapat ditanggapi pancaindera manusia. Dan sekiranya ada sekalipun, mana mungkin manusia biasa mampu hidup di bawah laut sebegitu lama sehingga sempat menjelajahi negeri di bawah laut serta mengagumi keindahannya pula. Sedikit sebanyak babak ini mengingatkan kita kepada kisah dongeng ‘The Little Mermaid ’, seorang puteri duyung dalam kerajaan bawah laut.

Terdapat banyak lagi latar-latar berunsur dongeng yang dipaparkan. Contoh-contoh latar lain dapat dilihat pada Lampiran IV, yang akan menunjukkan analisis terperinci latar-latar yang terdapat pada setiap bab dalam hikayat ini.

Latar masyarakat juga sarat digabung jalin dengan unsur dongeng. Secara keseluruhannya, latar masyarakat yang terdapat di dalam hikayat ini adalah masyarakat yang hidup di dalam kemewahan istana seperti kerabat diraja yang berketurunan manusia, dewa, peri dan mambang. Orang-orang suruhan, serta dayang dan inang istana juga terdiri daripada keturunan-keturunan tersebut mengikut kerajaan masing-masing. Sekiranya kerajaan dewa, maka golongan kerabat berketurunan dewa dan begitu juga orang-orang suruhan mereka.

Namun begitu, bagi kerajaan Negeri Zainun, yang ditadbir oleh Maharaja Puspa Pandai, rakyat jelata serta orang suruhan baginda terdiri daripada kera, beruk,cikah, kongkang dan Siamang yang hanya akan bertukar menjadi manusia pada waktu malam. Unsur dongeng di sini begitu nyata dan terang sekali; maharaja berketurunan jin, manakala rakyatnya merupakan binatang-binatang jadian. Lebih menarik lagi, Maharaja Puspa Pandai ini beristerikan bangsa manusia.

“Adapun akan maharaja itu rakyat daripada kera, beruk dan lotong karkah, kongkang, siamang adanya. Syahadan tatkala malam segala rakyatnya itu menjadi manusia “ [3]

Walaupun kedengaran tidak munasabah, namun kita terpaksa akui bahawa terdapat banyak daya imaginasi yang telah dicurahkan di dalam menghasilkan latar-latar ajaib sebegini. Daya imaginasi yang mengambil unsur dongeng sebagai intipati bagi menguatkan cerita merupakan suatu pendekatan unsur eskapisma yang menarik untuk diketengahkan. Dalam keadaan masyarakat zaman dahulu yang penat bekerja membanting tulang empat kerat seharian ditambah pula dengan kurangnya hiburan, unsur dongeng dan magis begini menyediakan satu platform untuk melepaskan diri daripada kegetiran realiti walaupun hanya untuk seketika.

Bukankah lebih menguntungkan buat semua pihak sekiranya kita menegaskan elemen yang positif mengenai sastera klasik ini daripada kita mencemuh dan mengkritik seni yang mungkin tidak relevan di zaman kini namun sangat relevan di zaman masyarakat Melayu dahulu? Kritikan kita hendaklah berdasarkan zaman sesebuah karya dihasilkan kerana salah satu fungsi sesebuah karya dikaji adalah untuk kita mengetahui keadaan dan pemikiran nenek moyang kita pada masa lalu seterusnya menghargai betapa bidang kesusasteraan Melayu telah mengorak langkah jauh serta lebih maju berbanding zaman dahulu.[4]


[1] Othman Puteh, Mendekati Kesusasteraan Melayu, Fajar Bakti Sdn. Bhd, halaman 204.

[2] Hikayat Inderaputra, edisi kedua terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2002, halaman 183.

[3] Hikayat Inderaputra, edisi kedua, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2002, halaman 88

[4] Othman Puteh, Mendekati Kesusasteraan Melayu, Terbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd, halaman 264.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: