Saya pernah ditanya kenapa saya selalu menulis menggunakan medium bahasa asing, yakni Bahasa Inggeris?

Susah untuk dijawab. Namun, di dalam entri (adakah ‘entri’ perkataan Bahasa Inggeris?) ini saya akan cuba sedaya-upaya kudrat akal yang saya ada untuk cuba menggunakan bahasa jati diri saya tanpa satu pun perkataan Bahasa Inggeris. Apa bolehkah saya melepasi cabaran yang bagi saya begitu sukar sekali ini?

Baiklah, berbalik kepada persoalan mengapa saya menggunakan Bahasa Inggeris dalam kebanyakan entri saya:

1)Tidakkah saya nampak begitu canggung, begitu baku lagi kaku apabila menggunakan bahasa ibunda sekarang ini?

-Cuba lihat entri ini. Orang yang kenal akan saya, semestinya akan merasakan kelainan. Saya sendiri tengah berhempas pulas untuk melakukan keadilan terhadap entri ini di dalam bahasa ibunda yang selama ini hanya digunakan dalam pertuturan dengan rakan-rakan. Tetapi tidak di dalam penulisan.

-Saya ada beberapa corak komunikasi selama ini yang saya pegang:

  • Bercakap bahasa Kedah dengan keluarga dan rakan-rakan utara
  • Bercakap bahasa rasmi dengan orang dari KL dan Selatan Semenanjung Malaysia
  • Bercakap Bahasa Inggeris dengan guru bahasa dan rakan-rakan bukan Islam
  • Menggunakan Bahasa Inggeris dalam penulisan

Jadi, bukanlah saya ini orang yang dibesarkan dengan suasana bertutur di dalam Bahasa Inggeris. Cuma saya telah meletakkan perkara-perkara akademik (seperti penulisan) untuk dikupas di dalam Bahasa Inggeris. Kerana saya sudah terbiasa begitu sejak kecil lagi. Sehingga tidak mampu mengubah lagi.

Lagipun, saya sangat jarang membaca novel-novel Bahasa Melayu sehinggakan saya merasakan penulisan saya di dalam Bahasa Melayu begitu dahsyat sekali. Sungguh, saya malu. Dan akan cuba di masa hadapan untuk lebih prihatin terhadap bahasa sendiri.

2)Bahasa Penulisan patut digarap dengan sempurna

-Sebab saya begitu canggung menulis di dalam Bahasa Melayu adalah kerana Bahasa Melayu yang saya guna untuk bercakap, sangatlah tidak formal dan tidak sempurna. Bahasa pasar, kata orang.

-Dan saya berpendapat, di dalam penulisan (kerana kita telah hilang komunikasi secara tidak verbal di dalam pembacaan; tiada mimik muka, tiada intonasi nada) hendaklah penulis menulis dengan sempurna supaya mesej dapat difahami dengan terang lagi tersuluh. Saya sungguh tidak suka membaca blog yang ditulis dengan bahasa sms, bahasa pasar atau bahasa ibunda yang terpencil sehingga begitu sukar untuk memahaminya. Ini kerana kebanyakan orang (orang-orang biasa yang menulis di blog) apabila menulis di dalam bahasa sendiri , mereka telah mengabaikan tanggungjawab menjaga bahasa di dalam karya.  Mereka menggunakan bahasa-bahasa pasar mereka dan bahasa-bahasa harian mereka untuk menulis blog, mungkin kerana bagi mereka blog adalah sesuatu yang tidak formal dan tidak perlu bertungkus lumus seperti hendak membuat karangan pula.

Tidak perlu.

Dan saya setuju.

Sekiranya apa yang kamu hendak ceritakan adalah aktiviti-aktiviti harian, perkara-perkara menarik yang telah kamu alami, apa yang kamu lakukan pada waktu cuti, memang betul, tidak perlulah terlalu formal.

Namun saya menulis benda yang berbeza. Sangat jarang untuk saya menulis tentang perkara harian. Saya cuma ‘menyelitkan’ perkara harian di dalam sesuatu topik yang saya tulis. Namun di dalam setiap entri yang saya tulis, saya ada sesuatu yang hendak disampaikan. Jadi, saya tidak gemar hendak menulis di dalam bahasa tidak formal…namun pada masa yang sama tidak mahu kelihatan terlalu baku sehingga orang naik muak lagi jemu.

Maka, saya memilih untuk menulis di dalam Bahasa Inggeris kerana:

  • Saya tidaklah mahir di dalam Bahasa Inggeris, jadi insya Allah, saya tidak mampu untuk bertutur di dalam bahasa pasar mereka, lalu secara tidak langsung saya akan menjaga bahasa tersebut di dalam penulisan saya.
  • Saya tidak akan menulis ringkasan perkataan di dalam Bahasa Inggeris.
  • Bahasa Inggeris sentiasa baku buat saya. Orang Inggeris sendiri walaupun bercakap dengan loghat negeri masing-masing, namun apabila menulis mereka masih menjaga bahasa mereka. Jadi, saya tidak berasa canggung untuk menulis di dalam bahasa ini.
  • Orang Melayu lain pula. Apabila menulis, kadang-kadang mereka masih terbawa-bawa dengan pertuturan pasar; jika ada yang tidak menulis di dalam pertuturan pasar, mereka ini akan dianggap skema benar. Menjemukan! Hingga saya sendiri terasa canggung untuk menulis di dalam Bahasa Melayu…
  • Saya mempunyai mesej tertentu di dalam entri yang saya tulis, jadi saya mahu penulisan saya jika dibaca oleh orang bukan Melayu, mereka juga mendapat manfaatnya. Untuk sesetengah entri, saya memang akan menulis di dalam Bahasa Inggeris sepenuhnya, seperti entri tentang perang di Gaza, entri tentang Alcohol, entri tentang hijab. Cuma sesetengah bahagian yang saya tidak mahu orang luar faham, barulah saya menyelitkan bahasa Melayu.
  • Apabila saya menulis di dalam bahasa asing, saya memberi latihan kepada otak. Saya berfikir. Saya tidak pasif. Ini secara tidak langsung menguatkan otak dan mengurangkan risiko alzheimer. Ini benar.

Namun, saya berjanji bahawa saya akan cuba sedaya-upaya untuk menulis satu karya kreatif (yakni puisi atau cerpen) di dalam bahasa ibunda sendiri. Namun saya meminta maaf awal-awal lagi kerana saya sememangnya yakin bahasa Melayu saya untuk penulisan kreatif mungkin begitu buruk sekali.

Advertisements