3. Dongeng Dalam Watak Perwatakan

UNSUR DONGENG DAN WATAK PERWATAKAN

Sekiranya irama dan lagu tidak dapat dipisahkan, begitulah juga halnya dengan watak dan cereka. Wataklah yang akan melakukan segala adegan yang terdapat di dalam sesebuah cereka. Objektif yang lazim bagi sebuah sastera hikayat roman seperti Hikayat Inderaputera ini adalah untuk memaparkan kegagahan, keunggulan, dan keperkasaan seorang putera raja dalam menempuh pelbagai dugaan dan halangan dalam perjalanannya melaksanakan suatu misi atau tanggungjawab tertentu.[1]

Bersesuaian dengan objektif inilah maka, watak protagonis utama iaitu Inderaputera, anak Maharaja Bikrama Buspa ini, akan dipertemukan dengan watak-watak magis lagi ajaib. Malah, watak-watak binatang dan bunga-bungaan turut diberi sentuhan mistik apabila mereka mampu berkata-kata dan berpantun. Merekalah yang menyambut kedatangan Inderaputera ke satu-satu tempat dengan kata puji-pujian terhadap kegagahan Inderaputra hingga mampu sampai ke negeri yang tiada manusia pernah sampai.

Maka burung itu pun mengiraikan sayapnya seraya berpantun:

Sungguh banyak beraturnya gajah,

Rama-rama bertali sutera;

Sungguh banyak anak raja-raja,

Tiada sama dengan Inderaputera.[2]

Asosiasi watak Inderaputera dengan watak-watak ghaib sebegini sengaja dimanifestasikan untuk menegaskan kegagahan Inderaputera. Kehadiran jin, kerabat diraja berketurunan jin dan dewa, dan nenek kebayan mewarnai segenap adegan yang terdapat di dalam sastera ini. Sebagai contoh, Inderaputra mempunyai jin suruhan bernama Dikar Kilat dan Dikar Agus. Jin ini diperolehinya apabila Puteri Seri Ratna Gemala Nehran memberikan sebuah gemala hikmat kepada Inderaputra. Sekiranya berhajat kepada sesuatu, Inderaputra hanya perlu menambangkan gemala hikmat ini dan mencitakan nama Dewa Langkurba.

“…maka citalah nama nenek hamba Dewa Langkurba…hulubalangnya ada dua orang, seorang bernama Dikar Agus dan seorang Dikar Kilat dan Dikar Kilat itu jikalau saudaraku hendak menyuruhkan kepada suatu negeri atau ke dalam laut, maka dengan seketika itu juga ia pergi datang. Adapun Dikar Agus itu jikalau saudaraku hendak menyuruhkan kepada menurunkan hujan atau angin atau api nescaya dapat olehnya..-“[3]

Objektif sastera ini tercapai apabila Inderaputra dibayangkan sebagai seorang yang benar-benar gagah perkasa kerana mampu memperhamba kedua-dua jin tersebut untuk patuh kepada arahannya. Amatlah nyata unsur dongeng yang terdapat pada cerita ini. Mana mungkin seekor jin berkuasa menurunkan hujan semata-mata untuk menurut kehendak seorang manusia biasa. Allah telah berfirman dalam Surah Al-A’raaf ayat 57:-

“ Dan Dialah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita gembira sebelum kedatangan rahmatNya (hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering – kontang) lalu Kami turunkan hujan dengan angin itu…-“[4]


Sudah jelas di sini bahawa hanya Allah, Tuhan sekalian alam sahaja yang berkuasa menurunkan rahmat hujan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan pada bila-bila masa Ia kehendaki. Oleh itu, babak di atas sangat tidak munasabah.

Terdapat banyak lagi watak-watak yang berunsurkan dongeng(Rujuk LampiranV). Mungkin disebabkan unsur-unsur sebeginilah yang menyebabkan Hikayat Inderaputera dicemari satu stigma atau tanggapan negatif. Sifat penulisannya yang mementingkan hiburan dan mengandungi banyak unsur fantasi dan khayalan juga menyebabkan timbulnya kesangsian terhadap kesan yang ditimbulkan.[5]

Maka tidak hairanlah mengapa Nuruddin al-Raniri pengarang kitab Bustanis-Salatin pernah mengeluarkan arahan lantang membaca hikayat.[6]Di dalam kitab tersebut, beliau menulis:

“Lagi kafir barang siapa membaca dia, seperti Hikayat Jawa dan Hikayat Inderaputera itu pun nyata dustanya daripada dungu dan kurang budi juga segala yang membaca dia dan membenarkan dia dustanya itu”[7]

Sehingga begitu sekali pembaca sastera hikayat ini dihukum. Namun, kita perlu berbalik kepada tujuan asal sastera ini dihasilkan, iaitu sebagai hiburan semata-mata. Golongan yang membaca sastera ini mungkin sekadar untuk berhibur serta mengagumi hasil imaginasi yang terdapat di dalam karya sebegini. Kita boleh membaca dan menghargai nilai estetik sesuatu karya tanpa mempercayai input yang diberikan. Sudah tentu tiada golongan beragama Islam yang percaya bahawa bunga dan ikan boleh bertutur dan jin boleh menurunkan rahmat hujan. Membaca dan meminati hikayat tidak sama dengan mempercayainya. Tiada sesiapa yang akan membenarkan sesuatu yang begitu tidak munasabah. Persoalan kafir-mengkafir tidak sepatutnya timbul. Oleh itu, adalah tidak adil untuk mengecam pembaca hikayat sebegini rupa.

Mereka mungkin boleh dipersalahkan kerana terlalu membuang masa dengan sesuatu yang berunsur khayalan, mereka mungkin boleh dikritik kerana tidak membaca sesuatu yang lebih intelektual, tetapi mereka tidak boleh dituduh dungu dan kurang budi, jauh sekali kafir.


[1] Ariffin Nur, Sastera Melayu Klasik, terbitan Pustaka Aman Press, Kota Bharu, 1975, halaman 117

[2] Hikayat Inderaputera, Edisi Kedua, Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, halaman 198

[3] Hikayat Inderaputera, Edisi Kedua, Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002, halaman 50

[4] Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, terbitan Bahagian Hal Ehwal Islam Jab. Perdana Menteri, 1995, halaman 357

[5] Siti Hawa Haji Salleh, Kesusasteraan Melayu Abad Kesembilan Belas, terbitan DBP, hlmn 271

[6] Ibid, hlmn 272

[7] Nuruddin Al-Raniri, Taju’l Salatin. Leiden Cod. Or. 3234 (2)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: