4. Dongeng Dalam Plot



UNSUR DONGENG DAN PLOT

Secara keseluruhan, hikayat ini mempunyai struktur plot yang biasa; eksposisi, perkembangan cerita, suspens, klimaks dan pengakhiran. Ia bermula dengan kelahiran Inderaputera yang disambut dengan penuh adat istiadat, sesuai dengan kebesaran Maharaja Bikrama Buspa, ayahanda Inderaputera. Pada peringkat ini lagi, unsur dongeng sudah bermula apabila ahli nujum memberi amaran kepada Maharaja Bikrama Buspa bahawa Inderaputra tidak harus dibiarkan bermain dengan binatang, dikhuatiri akan beroleh bencana. ‘Bencana’ di sini, mungkin merujuk kepada perpisahan antara Inderaputera dengan ayah bondanya. Di sini, ahli nujum dibayangkan dapat mengetahui dan meramal masa depan seorang putera. Pada peringkat eksposisi lagi, aura dongeng telah diselitkan.

Golongan yang sinis terhadap sastera hikayat pasti tidak boleh menafikan bahawa kehadiran aura mistik pada peringkat eksposisi menyebabkan pembaca ingin meneruskan pembacaan untuk mengetahui selanjutnya apakah yang akan terjadi kepada putera kecil ini; samada baginda terselamat daripada ramalan tersebut atau sebaliknya. Kita patut menghargai kebijaksanaan pencerita hikayat ini dalam mengeksploitasi rasa ingin tahu manusia. Dongeng dan realiti merupakan kontradiksi yang nyata; namun, mungkin itulah yang menyimpan daya tarikan di sini.

Keseluruhannya, eksposisi Hikayat ini berlaku sewaktu Inderaputera dilahirkan dan beberapa tahun kemudiannya diterbangkan merak emas; perkembangan cerita digambarkan apabila Inderaputera menghadapi perjalanan yang getir dari satu negeri ke satu negeri untuk menemui Berma Sakti yang memiliki Bunga Tunjung Putih (ubat beranak); unsur suspens dan konflik berlaku di sepanjang cerita apabila Inderaputera terpaksa berperang dengan rakyat tanah dewa, bota yang bernama Gheragas, dan menteri-menteri Raja Syahian yang dengki terhadapnya dan hikayat ini akhirnya diakhiri dengan pertemuan semula Inderaputera dengan ayah bondanya. Namun begitu, pada setiap negeri yang Inderaputera lalui, semacam terdapat subplot; eksposisi semula, perkembangan cerita semula dan pengakhiran semula. Rujuk Ilustrasi 1 dan Lampiran III.

Ilustrasi 1

Lampiran III

Perkembangan cerita Hikayat Inderaputera ini mengambil tempat di beberapa buah negeri. Di antaranya adalah di Negeri Jin Islam, negeri Dewa Maharaja Syah Tokan, negeri Maharaja Gurjanis di mana Inderaputera bertemu dengan bukit emas, bukit zamrud, bukit permata, bukit tembaga dan sebagainya. Konflik dan unsur suspens banyak berlaku sewaktu pengembaraan Inderaputera di negeri-negeri tersebut.

Konflik yang paling menarik berlaku sewaktu Inderaputera berada di istana Maharaja Shahian. Kejayaan Inderaputera mendapatkan ubat beranak (bunga tunjung putih yang dianugerahkan oleh Berma Sakti) menyebabkan empat orang menteri Raja Shahian berasa dengki. Raja Shahian melayan Inderaputera dengan begitu baik sekali memandangkan Inderaputera telah banyak berjasa. Didorong oleh rasa iri hati, menteri-menteri tersebut menghasut raja-raja yang bernaung di bawah Maharaja Shahian supaya membunuh Inderaputera. Inderaputera telah dibunuh  dan diparang. Namun disebabkan oleh hikmat Bedi Zahar yang Inderaputra perolehi sewaktu pengembaraannya,dia akhirnya dihidupkan semula oleh permaisuri-permaisurinya menggunakan hikmat tersebut. Pembunuhan Inderaputera ini berlaku sebanyak tiga kali dan setiap kali itu jugalah Inderaputera dihidupkan semula.

“Maka Inderaputera pun matilah. Setelah sudah mati lalu diambil oleh raja-raja itu cembul yang berisi gemala itu…Hatta maka isteri Inderaputera ketiganya keluarlah dari dalam cembul mutiara itu. Maka lalu ia memakai cara laki-laki. Maka dikeluarkannya Bedi Zahar itu. Maka lalu disapukannya tubuh Inderaputera itu. Maka ia pun hiduplah dengan tolong Tuhan Yang Maha Besar”[1]

Secara rasionalnya, roh manusia setelah mati akan berada di alam barzakh. Alam barzakh ini memisahkan di antara kehidupan dunia dan akhirat; tidak akan berlaku kehidupan yang saling tembus-menembusi.[2] Roh manusia yang telah meninggal dunia tidak akan kembali bergaul seperti biasa dalam kehidupan harian manusia. Oleh itu, babak di atas tidak mungkin terjadi sama sekali.

Elemen suspens juga banyak diselitkan unsur dongeng. Di antaranya, pertarungan antara Nobat Rum Syah yang merupakan seorang jin Islam dan Tamar Jalis, jin kafir. Kedua-dua jin tersebut sama kuat dan sama gagah perkasa. Tidak dapat diagak siapakah di antara mereka yang akan muncul juara. Namun begitu disebabkan pertolongan daripada Inderaputera, maka Nobat Rum Syah dapat menumpaskan Tamar Jalis.  Di dalam bab kesepuluh pula, unsur suspens mendominasi babak pertarungan antara orang kampung dengan bota yang bernama Gheragas. Orang kampung menggunakan pelbagai taktik untuk menumpaskan kanibal ganas ini dan kebanyakan usaha yang mereka lakukan pada mulanya mempunyai harapan untuk berjaya. Namun, setiap kali itu juga Gheragas mampu mengalahkan mereka. Sekiranya kita benar-benar menghayati cerita ini, kita akan berasa tertunggu-tunggu kedatangan Inderaputera untuk menumpaskan Gheragas puaka ini. Babak ini juga meninggalkan kita dengan persoalan samada Inderaputera mampu menewaskan bota tersebut.

Sesungguhnya, plot cerita Hikayat Inderaputera begitu sarat dengan kisah-kisah dongeng, mistik dan magis. Hampir setiap peristiwa, adegan dan konflik mempunyai unsur dongeng yang begitu ketara ( Rujuk Lampiran III )

Bukhari al-Jauhari menyatakan bahawa pembacaan sastera hikayat sama buruknya dengan bersahabat dengan orang jahil, penjudi, penyabung ayam dan pelaga kerbau dan tukang rebana atau ahli muzik.[3] Kata-kata beliau nyata sekali bertujuan untuk menghalang masyarakat meneruskan minat mereka terhadap sastera ini. Manakkala Nuruddin al-Raniri pula menyatakan hikayat yang tidak mengandungi nama Allah S.W.T layak digunakan untuk beristinjak.[4] Secara tidak langsung, beliau ingin menunjukkan bahawa sastera hikayat ini tidak mempunyai nilai ilmu yang berfaedah untuk disimpan dan oleh itu bukanlah suatu kehilangan yang besar jika digunakan sebagai alat istinjak.

Untuk berlaku adil, mungkin kita boleh memahami mengapa kedua-dua tokoh ini mengecam hikayat sastera. Ini memandangkan pada zaman tersebut agama Islam baru sahaja ingin berkembang. Usaha mereka untuk menghapuskan unsur-unsur yang dapat memesongkan akidah seharusnya mendapat pujian.[5]

Di dalam konteks  zaman sekarang, kecaman dari sudut agama itu tidak lagi relevan. Namun begitu, kita menghadapi pula kritikan sinis dari golongan yang mengagungkan intelek dan oleh itu tidak menyentuh karya sastera yang tidak membawa apa-apa pengajaran melainkan ketahyulan terlampau. Tetapi, benarkah Hikayat Inderaputera tidak mempunyai apa-apa pengajaran?


[1] Hikayat Inderaputera, Edisi Kedua, Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, hlmn 201

[2] Soal Jawab Agama, Mingguan Malaysia, 22 Ogos 2004, hlmn 9

[3] Siti Hawa Haji Salleh, Kesusasteraan Melayu Abad Kesembilan Belas, Terbitan DBP, hlmn 274

[4] Nuruddin al-Raniri, Siratu’l – Mustaqim. Leiden Cod. Or. 7261, hlm. 34-35

[5] Siti Hawa Haji Salleh, Kesusasteraan Melayu Abad Kesembilan Belas, terbitan DBP, hlmn 277

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: