5. Keadilan Buat Sastera Hikayat

KEADILAN BUAT SASTERA HIKAYAT

Antara karya sastera dengan kritikan ada satu garis yang membezakannya, di mana karya sastera memenuhi keinginan manusia yang perasa, sedangkan kritikan memenuhi keinginan mereka yang pemikir mengenai apa yang seharusnya wujud dan tidak wujud atau yang paling cocok dan tidak cocok .[1]

Banyak pendapat menyatakan bahawa tidak wujud nilai-nilai keislaman yang bersungguh-sungguh yang diterapkan di dalam sastera hikayat. Ini kerana dalam usaha sesetengah pihak untuk ‘mengislamkan’ sastera ini, hanya usaha yang minimum telah dilakukan iaitu hanya menukar perkataan ‘dewata raya’ atau ‘brahman’ dengan perkataan Allah S.W.T. Ingin ditegaskan di sini bahawa, adalah tidak adil untuk membandingkan sastera hikayat dengan sastera lain. Adakah munasabah untuk kita mengkritik buah asam kerana ia masam dan tidak semanis buah durian? Ini kerana sifat masam itu sendiri menyebabkan ia diberi nama buah asam dan bukan durian. Begitu juga dengan sastera hikayat roman. Oleh kerana unsur-unsur dongeng inilah maka Hikayat Inderaputera diletakkan di dalam kategori sastera hikayat dan bukan sastera keagamaan seperti Hikayat Nabi Wafat, Kitab Bintang Dua Belas atau Hikayat Tamin al-Dari dan bukan juga dalam kategori Sastera Sejarah seperti Sejarah Melayu dan Misa Melayu. Tujuan diwujudkan kategori atau pengkelasan adalah supaya kita lebih berhati-hati dalam melemparkan tohmahan dan kritikan. Namun, segelintir masyarakat bertindak mengkritik tanpa menyedari bahawa mereka telah menganiayai sastera hikayat.

Tidak kurang juga yang memandang rendah dan enteng terhadap sastera hikayat kerana kurangnya nilai ilmiah dan intelektual di dalam penghasilan sastera ini. Malah, sastera hikayat dikatakan tidak mempunyai nilai dan pengajaran yang ketara. Ingin dijelaskan di sini bahawa di dalam kebanyakan karya sastera tidak kira apa sahaja kategorinya, mesej yang disampaikan tidak akan nampak jelas atau ketara melainkan dengan adanya usaha di atas sedar (conscious effort) daripada pembaca untuk meneliti atau mendalami apa yang pengarang cuba sampaikan. Oleh itu, kritikan ini tidak relevan untuk ditujukan terhadap sastera hikayat semata-mata. Sastera Hikayat bukanlah buku teks pelajaran moral. Sekadar menamakan beberapa pengajaran, Sastera Hikayat mengandungi mesej-mesej moral yang asas seperti kebenaran mengatasi kebatilan, perbuatan baik dibalas baik dan setiap perbuatan hasad dengki akan menyebabkan kehancuran diri sendiri. Contohnya, di dalam Hikayat Inderaputera, jin Islam iaitu Nobat Rum Syah mengalahkan jin kafir Tamar Jalis apabila Tamar Jalis dengan biadapnya menceroboh kawasan Nobat Rum Syah. Malah, tajuk bagi dua bab daripada hikayat ini diberi nama yang membawa nilai moral yang jelas. Contohnya, Bab 6 diberikan tajuk ‘Salah Sangka’ manakala Bab 13 diberi tajuk ‘Akibat Dengki’.

Menyentuh tentang nilai intelektual pula, sebenarnya mungkin terlalu banyak unsur dongeng dan khayalan sehingga nilai intelektualnya kelihatan samar-samar. Namun kewujudannya tetap ada bagi golongan yang bersedia untuk meluangkan masa membuat penelitian. Dengan membaca hikayat sastera, kita dapat menghayati adat dan budaya istana zaman dahulu kala. Kita juga dapat mengagumi gaya bahasa yang terdapat di dalam Hikayat Inderaputera yang sarat dengan puisi dan pantun-pantun. Malah, kita juga boleh mengagumi daya imaginasi yang terlibat di dalam menghasilkan hikayat ini. Mungkin nilai-nilai dongeng di dalam sastera hikayat bertentangan dengan nilai-nilai Islam, malah akidah Islam. Namun, tiada siapa yang menyuruh kita untuk mempercayai atau meyakini apa yang kita baca. Contohnya, ulama Islam sekarang mengkaji Bible bukan untuk mencari hidayah daripada Bible melainkan untuk berdebat dengan golongan Kristian. Begitu juga dengan pembacaan Sastera Hikayat. Kita membaca sastera hikayat supaya kita boleh mengkaji pemikiran nenek moyang kita zaman dahulu dan mengambil iktibar daripadanya.

Mungkin sikap masyarakat yang memandang rendah kepada sastera hikayat adalah didorong oleh perasaan prejudis kita terhadap apa-apa sahaja produk daripada tanah air atau keturunan sendiri. Mereka mendakwa bahawa mereka tidak berminat dengan unsur dongeng yang terdapat di dalam sastera hikayat. Yang menghairankan kita, masyarakat boleh pula menerima unsur dongeng yang terdapat di dalam buku bersiri Harry Potter dan Lord of The Rings. Walhal, unsur-unsur dongeng yang terdapat di dalam buku-buku tersebut jika bukan lebih melampau, sekurang-kurangnya sama taraf dengan unsur dongeng yang terdapat di dalam sastera hikayat. Masyarakat bukan setakat menerima, malah meminati buku-buku dan filem-filem adapatasi buku-buku tersebut. Ini menunjukkan bahawa kebanyakan kritikan-kritikan masyarakat terhadap unsur dongeng hikayat sastera adalah tidak wajar dan agak hipokrit.

Sebenarnya, unsur dongeng adalah suatu daya tarikan kuat dan unik yang tidak ada pada unsur-unsur lain. Secara sedar atau tidak, unsur dongeng masih mempengaruhi sebahagian besar kehidupan kita kerana ia menggambarkan impian kita yang di dalam realiti mungkin tidak kesampaian. Unsur dongeng memberi kita peluang untuk membebaskan diri daripada kesengsaraan realiti, walaupun hanya seketika. Ini menjelaskan kenapa buku-buku tersebut diminati oleh pembaca seluruh dunia. Nasib malang sastera hikayat adalah kurangnya pendedahan yang diberikan untuk menaikkan kedudukannya agar setaraf dengan buku-buku komersil keluaran luar negara.

Secara tradisional, fungsi kritikan ialah untuk menilai sesuatu karya seni sama ada dalam konteks mengecam atau memuji, dengan kritikawannya pula sebagai seorang yang berkebolehan untuk membezakan antara kelemahan dan keindahan dalam sesebuah hasil karya.[2] Jelaslah di sini bahawa kita telah terkeliru apabila kita menganggap unsur dongeng adalah suatu kelemahan dan bukan keindahan. Jika ia adalah kelemahan, maka ia adalah kelemahan yang diminati dan menjadi obsesi seluruh dunia.


[1] Hashim Awang, 1985, Mendekati Kesusasteraan Melayu, Fajar Bakti Sdn. Bhd, hlmn 263

[2] Sahlan Mohd Saman,1985, Mendekati Kesusasteraan Melayu, terbitan Fajar Bakti, hlmn264

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: