Lampiran I

SEJARAH SASTERA HIKAYAT ROMANTIS

Penyelidikan sejarah mendapati bahawa tradisi penulisan dalam bidang kesusasteraan Melayu pada permulaannya banyak dipengaruhi oleh kebudayaan luar atau asing. Pengaruh asing yang paling awal sekali diterima ialah pengaruh dari kebudayaan Hindu, yang dimulai sejak kurun Masihi yang ketiga.[1]

Semenjak itulah pengaruh kebudayaan Hindu telah bertapak dengan kuat di Alam Melayu, khususnya di Jawa dan Sumatera, terutama dari segi agama, adat istiadat Hindu serta diperkenalkan juga bahasa, kesusasteraan dan tulisan dari huruf-huruf Hindu.[2]

Kurun Masihi kelapan menyaksikan lahirnya suatu bentuk tulisan Jawa Kuno dengan menggunakan huruf Kawi yang dikatakan berasal daripada huruf-huruf Vangki (Wenggi), iaitu huruf yang digunakan oleh orang-orang Pallawa dari pantai Coromandel dalam negeri India.[3] Dengan menggunakan huruf Kawi itulah kesusasteraan Hindu diterjemahkan ke bahasa Jawa Kuno yang kemudiannya disalinkan pula ke Bahasa Melayu.

Pada zaman Kerajaan Jawa Tengah yang berpusat di Mataram, iaitu kira-kira antara tahun 750 Masihi hingga 925 Masihi , telah disalinkan kekawin Ramayana ke Bahasa Jawa Kuno oleh seorang pujangga yang memakai nama samaran Yogiswara.[4] Apabila kerajaan Jawa Tengah ini lenyap, muncul pula kerajaan Jawa Timur (1000 – 1500 Masihi) di mana salah seorang pemerintahnya, Dharmawangsa, mengarahkan penyalinan  kitab Mahabharata ke Bahasa Jawa Kuno  manakala pada zaman Raja Erlangga, seorang penyair bernama Empu Kekawa telah mengarangkan kekawin Arjuna Wiwaha.[5]

Mahabharata adalah sebuah kitab Hindu klasik yang mengandungi rangkaian cerita mengenai kegagahan pahlawan-pahlawan keturunan Bharata yang dipercayai telah disusun oleh Vyasa dalam masa kira-kira 800 tahun (400 sebelum Masihi hingga T.M 400). [6] Dipercayai bahawa Vyasa bukanlah nama khas untuk seseorang. Terdapat ramai pengarang kitab Mahabharata dan semua pengarang-pengarang ini dinamakan Vyasa.[7]

Mahabharata terdiri daripada 100,000 seloka yang terbahagi kepada 18 parwa (buku).[8] Kepada orang-orang Hindu Mahabharata bukan sekadar suatu epik mengenai pahlawan atau dewa tetapi turut merupakan kitab suci  bagi kaum Brahman, malah ada bahagian yang di dalam kitab ini yang disebut Bhagavadgita (madah Tuhan) yang amat terkenal dan telah diterjemahkan ke dalam berbagai-bagai bahasa seperti Perancis, Belanda, Inggeris, Jerman dan lain-lain.[9] Dipercayai bahawa sastera-sastera hikayat lama yang bercorak Hindu telah disadur atau ditiru daripada kitab Mahabharata menerusi kesusasteraan Jawa Kuno.

Sebuah lagi epik Hindu yang terkenal ialah Ramayana yang telah dikumpul dan disusun oleh seorang resi bernama Valmiki dalam masa 400 tahun (200 sebelum Masihi hingga T.M 200) di mana ia terdiri daripada 24, 000 seloka yang tiap-tiap satunya terdiri daripada 32 suku kata dan terbahagi kepada 7 kanda (kitab).[10] Hikayat Seri Rama dipercayai ditiru daripada kitab Ramayana, tetapi kajian mendapati  bahawa Hikayat Seri Rama Melayu berbeza bentuk dan jalan ceritanya dengan kitab Ramayana asli berbahasa Sanskrit dan lebih jauh berbeza dari Seri Rama Jawa.[11] Dengan itu, Seri Rama Melayu tidak mungkin tersalin dari versi-versi Jawa.

Jika Hikayat Seri Rama disadur dan ditiru daripada epik Ramayana, Hikayat Inderaputera pula disadur dan ditiru daripada Hikayat Seri Rama. Ini menunjukkan secara tidak langsung Hikayat Inderaputera mendapat pengaruh daripada epik Ramayana. Maka, tidak hairanlah mengapa Hikayat Inderaputera mengandungi unsur dongeng yang begitu banyak sekali.


[1] Artikel Kesusasteraan Zaman Hindu, Dewan Budaya, May 2000, hlmn 18

[2] Ibid hlmn 18

[3] Ibid hlmn 19

[4] Ariffin Nur,1975, Sastera Melayu Klasik, terbitan Pustaka Aman Press, Kota Bharu, hlmn 61

[5] Ibid, hlmn 61

[6] Ariffin Nur, 1975, Sastera Melayu Klasik, Pustaka Aman Press, hlmn 62

[7] R.K Narayan, 1991,  Mahabharata (Simplified English Version), hlmn IV

[8] Ibid, hlmn IV

[9] Ariffin Nur, 1975, Sastera Melayu Klasik, Pustaka Aman Press, hlmn 63

[10] Ibid, hlmn 63

[11] Annas Haji Ahmad, 1975, Sastera Melayu Lama dan Baru, Sinaran Bros Sdn. Bhd, hlmn 97

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: